Jumaat, 28 Disember 2012

Adab Pergaulan

Berbicara dengan orang perseorangan atau awam sama ada secara langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun elektronik dan lain-lain mempunyai tatacara dan adab yang tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta perangainya. Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah merupakan ibadah yang besar pahalanya. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya:
Daripada kebaikan iman seseorang ialah meniggalkan apa yang tidak bermakna bagiya.'
(Hadith Riwayat at-Tirmidzi)
Orang yang tidak memperkatakan sesuatu yang tidak berfaedah baginya merupakan tanda kejayaan hidupnya sebagai seorang mukmin.
Allah S.W.T. berfirman:
Maksudnya:
'Sesungguhnya telah berjaya orang yang beriman iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya, orang yang menjauhkan diri daripada perbicaraan yang tidak berguna.'
(Surah al-Mukminun : 1-3)
 Abdullah ibnu Abbas r.a. mengatakan: 'Ada lima perkara yang lebih baik bagi mereka daripada kuda liar yang dibiarkan diam.
Pertama: Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu yang tidak mengenai dirimu kerana hal itu merupakan perbicaraan yang tidak perlu dan aku tidak menjamin engkau akan selamat daripada dosa.
Kedua: Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu sebelum engkau mengetahui saatnya yang tepat sebab mungkin orang berbicara tentang sesuatu yang penting baginya tetapi kerana dilakukan tidak tepat pada waktunya boleh menimbulkan hal-hal yang memalukan.
Ketiqa: Janganlah engkau berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana dan juga dengan orang yang berperangai buruk sebab orang yang sabar tidak akan menghiraukan dirimu manakala orang yang berperangai buruk akan menyakiti hatimu.
Keempat: Ceritakanlah kepada saudaramu yang tidak hadir tentang apa yang engkau sendiri ingin dia ceritakan kepadamu dan maafkanlah dia seperti engkau sendiri ingin dimaafkan olehnya.
Kelima: Buatlah seperti orang yang benar-benar sedar bahawa perbuatan itu akan mendatangkan kebajikan dan tidak akan mendatangkan dosa atau kesalahan. (Ibnu Abi Dunya).
Oleh itu kita harus menguasai lidah kerana seseorang itu boleh terjerumus ke lembah yang hina disebabkan lidahnya yang tidak terkawal. Orang yang berbicara tanpa kawalan akan kehilangan arah. Atas keprihatinan ini, Islam menggariskan tatacara dan adab berbicara agar umatnya sentiasa berada dalam lingkungan keredhaan Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan